Saturday 30 July 2011

KITAB SUASANA HARI KIAMAT, SYURGA DAN NERAKA

Kitab : KITAB SUASANA HARI KIAMAT, SYURGA DAN NERAKA
Bab : KITAB SUASANA HARI KIAMAT, SYURGA DAN NERAKA
4991. Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya akan tiba seorang lelaki besar lagi gemuk pada Hari Kiamat. Namun di sisi Allah s.w.t tidak dapat menandingi timbangan sayap seekor nyamuk. Kamu bacalah ayat فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا Yang bermaksud: Maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amalan mereka pada Hari Kiamat kelak.
4992. Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Seorang pendeta datang berjumpa Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Muhammad atau Wahai Abu Al-Qasim! Pada Hari Kiamat Allah s.w.t memegang langit, bumi, gunung-ganang, pokok-pokok, air, tanah dan semua makhluk dengan jari-jari-Nya. Kemudian Dia menggoyangnya sambil berfirman: Akulah Raja, Akulah Raja. Lalu Rasulullah s.a.w ketawa kerana kagum mendengar kata-kata pendeta tersebut sambil membenarkannya kemudian membaca ayat وَ مَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِيْنِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ Yang bermaksud: Dan orang yang syirik tidak menghormati Allah dengan sewajarnya, sedangkan pada Hari Kiamat bumi keseluruhannya berada dalam genggaman kuasa-Nya. Maha suci Allah, Dia dan keadaan-Nya yang tertinggi dari apa yang mereka sekutukan.
4994. Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t menggenggam bumi pada Hari Kiamat dan melipat langit dengan tangan kanan-Nya kemudian berfirman: Akulah Raja! Di manakah raja-raja bumi?.
4995. Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat Allah s.w.t melipat langit kemudian menggenggamnya dengan tangan kanan lalu berfirman: Akulah Raja! Di manakah orang yang gagah perkasa? Di manakah orang yang bongkak? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya lalu berfirman: Akulah Raja! Di manakah orang yang gagah perkasa? Di manakah orang yang bongkak?.

KITAB SAHIH MUSLIM




No comments:

Post a Comment