Wednesday 24 August 2011

KITAB IKTIKAF

Kitab : KITAB IKTIKAF
Bab : Bab Bermujahadah Pada Sepuluh Hari Yang Terakhir Dalam Bulan Ramadan
2008. Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Apabila tiba sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w menghidupkan ibadat malam. Baginda membangkitkan isteri baginda. Baginda amat bersungguh-sungguh dan bersemangat sekali dalam menghidupkan malam tersebut.
2009. Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain

KITAB SAHIH MUSLIM

Thursday 18 August 2011

KITAB PUASA

Kitab : KITAB PUASA
Bab : Bab Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha
1920. Hadis Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a katanya:
Dua hari ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w dari berpuasa. Hari kamu berbuka dari puasa kamu iaitu puasa Ramadan dan satu lagi pada hari kamu makan setelah mengerjakan ibadat Haji.
1922. Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri).
1924. Hadis Ibnu Umar r.a:
Seorang lelaki datang menemui Ibnu Umar lalu berkata: Aku telah bernazar untuk berpuasa satu hari yang kebetulan bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri. Ibnu Umar r.a berkata: Allah telah memerintahkan agar menunaikan janji dan Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada hari ini.

KITAB SAHIH MUSLIM

Wednesday 10 August 2011

KITAB TAFSIR


Kitab : KITAB TAFSIR
Bab : KITAB TAFSIR
5330. Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ketika diperintahkan kepada Bani Israel: Masuklah ke pintu gerbang kampung Nabi Musa atau pintu yang ke lapan di Baitulmuqaddis sambil sujud dan ucaplah Hittatun. Yang bermaksud: Bebaskanlah kami dari dosa, nescaya dosa-dosa kamu akan diampunkan. Tetapi mereka menukar iaitu tidak mengikut arahan tersebut. Mereka memasuki pintu secara perlahan-lahan dan mengucapkan Habbatun fi Sya'ratin. Yang bermaksud: Biji dalam rambut.
5331. Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya Allah s.w.t telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w sebelum tiba hari kewafatan baginda sehingga baginda wafat. Wahyu yang paling banyak diturunkan adalah pada hari kewafatan Rasulullah s.a.w.
5332. Hadis Umar r.a:
Diriwayatkan daripada Toriq bin Syihab r.a katanya: Orang-orang Yahudi berkata kepada Umar r.a: Kamu semuanya membaca sepotong ayat yang sekiranya ayat tersebut turun kepada kami nescaya kami akan jadikan hari tersebut sebagai satu Hari Raya. Umar segera menjawab: Aku amat mengetahui di mana ayat itu diturunkan serta bila ia diturunkan dan di mana Rasulullah s.a.w berada ketika ia diturunkan. Ayat tersebut diturunkan di Arafah. Ketika itu Rasulullah s.a.w sedang wuquf di Arafah. Sufian berkata: Aku tidak pasti adakah ayat tersebut diturunkan pada hari Jumaat ataupun tidak. Ayat yang dimaksudkan ialah الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي
5335. Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Urwah bin Az-Zubair katanya: Urwah bertanya kepada Saidatina Aisyah mengenai firman Allah وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ Yang bermaksud: Sekiranya kamu tahu kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Saidatina Aisyah menjawab: Wahai anak saudaraku dia ialah anak yatim yang hidup bersama walinya (penjaga), makan dari harta walinya (penjaga). Apabila dewasa walinya (penjaga) tertarik dengan harta dan kecantikkannya dan ingin mengahwininya tanpa memenuhi mas-kahwin yang biasa diberikan kepada gadis lain. Oleh sebab itu, para wali (penjaga) tidak dibenarkan mengahwini anak-anak yatim melainkan mereka berlaku adil kepada anak-anak yatim dan memberikan mas-kahwin lebih banyak daripada gadis lain dan mereka diperintah mengahwini gadis yang sesuai dengan mereka selain anak-anak yatim itu. Urwah menyambung lagi, Saidatina Aisyah berkata: Kemudian sahabat bertanya Rasulullah s.a.w tentang fatwa berhubung dengan anak-anak yatim selepas turunnya ayat ini. Allah menurunkan ayat يَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ وَمَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ فِي يَتَامَى النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا تُؤْتُونَهُنَّ مَا كُتِبَ لَهُنَّ وَتَرْغَبُونَ أَنْ تَنْكِحُوهُنَّ Yang bermaksud: Mereka semua bertanya meminta fatwa tentang perempuan, beritahulah kepada mereka bahawasanya Allah memberi fatwa kepada kamu berhubung dengan masalah mereka iaitu anak-anak yatim dan apa yang telah dibaca kepada kamu dalam Al-Quran mengenai masalah anak-anak yatim perempuan yang kamu tidak berikan kepada mereka harta mereka dan kamu mahu mengahwini mereka. Aisyah berkata: Firman Allah Taala يُتْلَى عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ Yang bermaksud: Dibacakan kepada kamu dalam kitab, merupakan ayat pertama yang disebut oleh Allah tentang perkara ini. Firman Allah Taala وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ Yang bermaksud: Sekiranya kamu tahu tidak dapat berlaku adil terhadap anak-anak yatim maka hendaklah kamu mengahwini perempuan (lain) yang setaraf dengan kamu. Asiyah berkata lagi: Firman Allah dalam ayat yang lain وَتَرْغَبُونَ أَنْ تَنْكِحُوهُنَّ Yang bermaksud: Dan kamu ingin mengahwini mereka seperti seorang yang tidak ingin mengahwini anak-anak yatim perempuan yang miskin yang tinggal bersama mereka. Oleh itu mereka ditegah mengahwini gadis-gadis yatim kerana ingin memiliki hartanya dan kecantikannya melainkan mereka berlaku adil lantaran mereka tidak ingin mengahwini gadis-gadis yatim yang miskin.
5339. Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Tentang firman Allah وَ مَنْ كَانَ فَقِيْرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ Yang bermaksud: Sesiapa iaitu wali (penjaga) yang menjaga anak-anak yatim yang miskin bolehlah dia makan dari harta anak yatim peliharaannya dengan baik, dengan katanya: Ayat ini diturunkan kepada wali (penjaga) harta anak yatim yang mengurus harta mereka. Mereka boleh mengambil harta tersebut sekiranya dia amat berhajat menggunakan wang tersebut.
5341. Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Ia Menerangkan firman Allah s.w.t إِذْ جَاءُوكُمْ مِنْ فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ Yang bermaksud: Apabila mereka iaitu orang kafir mendatangi kamu dari sebelah atas dan bawah kamu, apabila pemandangan kamu menjadi kabur dan hari kamu bergementar kerana ketakutan, dengan katanya: Ini mengisahkan tentang peperangan Khandak.
5342. Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Tentang firman Allah Taala وَإِنِ إمْرَأَةٌ خَافَتْ مِنْ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا Yang bermaksud: Sekiranya seorang wanita takut suami membencinya atau tidak mahu melayaninya. Saidatina Aisyah r.a berkata: Ayat ini diturunkan pada masalah seorang perempuan yang telah berkahwin dengan seorang lelaki, sesudah sekian lama, suaminya ingin mencerainya, lalu wanita itu berkata: Jangan ceraikan aku dan kamu ku bebaskan dari kewajipan-kewajipan terhadapku, maka turunlah ayat ini.
5345. Hadis Ibnu Abbas r.a:
Diriwayatkan daripada Said bin Jubair r.a katanya: Ahli Kufah telah berselisih pendapat tentang ayat وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ Yang bermaksud: Sesiapa yang membunuh seorang mukmin secara sengaja maka balasannya adalah Neraka Jahanam. Lalu aku pergi menemui Ibnu Abbas dan bertanya mengenai ayat tersebut. Ibnu Abbas memberitahu Ayat tersebut merupakan ayat yang terakhir diturunkan, oleh itu tidak ada yang menasakhkannya.
5350. Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Serombongan orang-orang mukmin telah menemui seorang lelaki yang sedang menggembala kambingnya, lalu mereka memberi salam السلام عليكم dan memegangnya kemudian membunuhnya serta mereka mengambil kambing-kambingnya. Maka turunlah ayat وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَى إِلَيْكُمُ السَّلَمَ لَسْتَ مُؤْمِنًا Yang bermaksud: Jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepada kamu dengan kata-kata: Kamu bukan seorang yang beriman dan Ibnu Abbas membaca السَّلَامَ
5351. Hadis Al-Bara' r.a katanya:
Golongan Ansar apabila mereka mengerjakan Haji kemudian mereka pulang dan (apabila sampai di rumah) mereka tidak memasuki rumah melainkan melalui pintu belakang. Al-Bara' menceritakan lagi: Pada satu ketika, seorang lelaki dari golongan Ansar telah memasuki rumah melalui pintu hadapan, maka ada orang bertanya kepadanya tentang perbuatannya itu, lalu turunlah ayat وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ ظُهُورِهَا Yang bermaksud: Tiada sebarang kebaikan mengikut sangkaan kamu memasuki rumah melalui pintu belakang.

KITAB SAHIH MUSLIM

KITAB ILMU

Kitab : KITAB ILMU
Bab : KITAB ILMU
4819. Hadis Jundab bin Abdullah Al-Bajali r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah Al-Quran selama mana hati kamu tetap padanya. Apabila kamu berselisih pendapat maka tegakkanlah kebenaran.

KITAB SAHIH MUSLIM

Monday 8 August 2011

KITAB PUASA

Kitab : KITAB PUASA
Bab : Bab Haram Bersetubuh Di Siang Hari Pada Bulan Ramadan. Diwajibkan Membayar Kifarat Iaitu Denda Yang Berat Dan Keterangannya. Ianya Diwajibkan Ke Atas Mereka Samada Yang Mampu Atau Tidak. Bagi Mereka Yang Tidak Mampu, Kewajipan Ini Dikenakan Setelah Berkemampuan
1870. Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Binasalah aku wahai Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang telah membinasakanmu? Lelaki itu menjawab: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w bertanya: Mampukah kamu memerdekakan seorang hamba? Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah s.a.w bertanya: Mampukah kamu berpuasa selama dua bulan berturut-turut? Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Mampukah kamu memberi makan kepada enam puluh orang fakir miskin? Lelaki itu menjawab: Tidak. Kemudian duduk. Rasulullah s.a.w kemudiannya memberikan kepadanya suatu bekas yang berisi kurma lalu bersabda: Sedekahkanlah ini. Lelaki tadi berkata: Tentunya kepada orang yang paling miskin di antara kami. Tiada lagi di kalangan kami di Madinah ini yang lebih memerlukan dari keluarga kami. Mendengar ucapan lelaki itu Rasulullah s.a.w tersenyum sehingga kelihatan sebahagian giginya. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah dan berilah kepada keluargamu sendiri.
1873. Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Celakalah aku. Rasulullah s.a.w bertanya dengan sabdanya: Kenapa? Lelaki tadi menjawab: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata: Bersedekahlah, bersedekahlah. Lelaki tadi berkata: Aku tidak memiliki apa-apa. Rasulullah s.a.w lalu menyuruhnya duduk. Kemudian baginda memberikan kepadanya dua bekas yang berisi makanan lalu memerintahkan agar menyedekahkannya

KITAB SAHIH MUSLIM

KITAB PUASA

Kitab : KITAB PUASA
Bab : Bab Kelebihan Lailatulqadar, Galakan Untuk Mencarinya, Keterangan Mengenai Waktunya Dan Waktu waktu Yang Lebih Diharapkan Untuk Mendapatkannya
1985. Hadis Ibnu Umar r.a:
Terdapat beberapa orang dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w telah bermimpi melihat Lailatulqadar pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengikut Pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh hari yang terakhir tersebut.
1993. Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
Rasulullah s.a.w pernah beriktikaf iaitu berada di dalam masjid selama sepuluh hari pada pertengahan bulan Ramadan. Selepas berlalu malam yang kedua puluh dan memasuki hari atau malam yang kedua puluh satu baginda pulang ke rumahnya. Para sahabat yang beriktikaf bersama-sama baginda juga turut pulang. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda di bulan Ramadan yang sama dan waktu yang sama di mana baginda pulang ke rumah, setelah menyuruh atau mengajak mereka supaya selalu tabah terhadap kehendak Allah dengan sabdanya: Aku telah beriktikaf selama sepuluh hari dan kemudian aku lanjutkan selama sepuluh hari yang berikutnya. Oleh itu sesiapa yang ingin melanjutkan iktikaf bersamaku, tetaplah berada di tempat iktikafnya. Aku telah bermimpi melihat Lailatulqadar tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh hari ganjil yang terakhir. Pada waktu itulah aku melihat aku sedang sujud pada air dan tanah. Abu Said Al-Khudriy r.a berkata: Kami dibasahi hujan pada malam hari yang kedua puluh satu. Masjid telah basah, begitu juga dengan tempat sembahyang Rasulullah s.a.w. Aku melihat ke arah baginda setelah selesai mendirikan sembahyang Subuh. Wajah baginda basah terkena lumpur dan air.
1998. Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan


KITAB SAHIH MUSLIM.

Tuesday 2 August 2011

KITAB PUASA

Kitab : KITAB PUASA
Bab : Bab Kelebihan Bersahur Dan Menguatkan Bahawa Hukumnya Sunat serta Disunatkan Juga Melewatkan Sahur Dan Menyegerakan Berbuka
1835. Hadis Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya.
1837. Hadis Zaid bin Thabit r.a katanya:
Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun mendirikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat.
1838. Hadis Sahl bin Saad r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa.

KITAB SAHIH MUSLIM